MIS cadang wujudkan Universiti Pendidikan Islam Sarawak

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

KOTA SAMARAHAN, 1 Ogos: Sarawak menerusi Majlis Islam Sarawak (MIS)
bercadang mewujudkan Universiti Pendidikan Islam Sarawak dalam tempoh 3 hingga 4 tahun ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan institusi tersebut bagi menyediakan peluang pendidikan dalam bidang Islam kepada pelajar negeri ini.

“Salah satu perkara yang saya selalu timbulkan dalam perbincangan adalah kita ada pelajar yang telah tamat tingkatan 5 dalam pendidikan Islam dan mereka hendak menyambung pengajian di peringkat pengajian Islam.


“Namun mereka terpaksa pergi ke tempat lain, ada yang terpaksa pergi ke Semenanjung Malaysia, Sabah malahan ada yang ke luar negara seperti ke Indonesia, Timur Tengah dan sebagainya.

“Adalah lebih baik jika kita mempunyai institusi sendiri dan tenaga pengajar kita ambil daripada luar bagi meningkatkan kualiti pendidikan Islam kita di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Seminar Zakat yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Dr Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam, penubuhan Universiti Pendidikan Islam Sarawak masih lagi di dalam peringkat perancangan dan dikendalikan oleh Biro Pendidikan MIS.

Menurut beliau, biro ini memainkan peranan memastikan pendidikan Islam di Sarawak dapat diuruskan dengan baik.

Katanya, ia meliputi peringkat pra sekolah, tadika Islam, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Seterusnya lebih kurang 2 hingga 4 tahun lalu kita telah merancang supaya usaha itu dipertingkatkan.

“Bukan hanya setakat peringkat sekolah malahan ke peringkat kolej iaitu dengan mewujudkan kolej untuk pendidikan Islam.

“Kini sudah ada Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak yang diuruskan oleh JAKIM,” ujar Dr Abdul Rahman. — DayakDaily