Minta maaf, janganlah sabung ayam tahun ini

File photo depicting the sport of cockfighting, known locally as 'sabung ayam'. Photo source: Wikimedia Commons

KUCHING, 19 Mei: Lesen sabung ayam dibekukan di Sarawak setelah Kerajaan Negeri tidak membenarkan aktiviti tersebut diadakan menjelang perayaan Hari Gawai yang bakal tiba dalam tempoh kurang 2 minggu lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Residen agar tidak mengeluarkan lesen sabung ayam.

“Dengan ikhlas saya minta maaf kepada komuniti Dayak. Kita minta rakyat untuk lebih berjaga-jaga semasa perayaan Hari Gawai tahun ini.


“Ini terpulanglah kepada kita kerana banyak lagi sambutan Gawai pada tahun-tahun akan datang.

“Kalau rakyat tidak berjaga-jaga, ia mungkin Gawai terakhir bagi mereka,”katanya sebagai menyeru rakyat untuk tidak mengambil mudah pandemik Covid-19.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan Covid-19 di Bintulu hari ini.

Memahami peningkatan kes Covid-19 yang agak membimbangkan di Bintulu dalam tempoh 2 bulan ini, beliau berkata langkah-langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak(JPBNS) dan JPBB Bintulu telah berjaya mengurangkan jangkitan di daerah tersebut.

“Hari ini dilaporkan hanya 44 kes baharu Covid-19 di Bintulu. Ini hasil langkah-langkah penguatkuasaan prosedur operasi standard(SOP) yang lebih ketat di beberapa kawasan yang disasarkan.

“Jumlah kes Covid-19 telah berkurang dan oleh sebab itu langkah-langkah ini akan terus dilaksanakan,” katanya.

Menurut Abang Johari lagi, beberapa langkah akan dilaksanakan menjelang perayaan Hari Gawai ini memandangkan pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas yang disambut sehari sahaja telah dipantau dengan berkesan.

“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua ketua komuniti dan tuai rumah agar memastikan SOP sentiasa dipatuhi pada sambutan perayaan nanti demi mengekang penularan kes.

“Mari kita lebih berdisplin pada Hari Gawai ini dan harap kita dapat menyambutnya seperti kebiasaan pada tahun akan datang setelah Covid-19 tiada lagi.

“Sekarang kita terpaksa berkorban untuk masa depan,” ujar Abang Johari.-DayakDaily