Menaikkan harga lada: Malaysia mengamalkan dasar berbincang dengan negara pengeluar lain

Willie (duduk tiga dari kiri) bersama peserta Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada 2020 di Hotel UCSI, Sejingkat hari ini (22 Sept 2020.

KUCHING, 22 Sept: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mensasarkan meningkatkan lagi harga lada hitam yang dikeluarkan 30,000 pekebun kecil di Malaysia dari lingkungan RM8 sekilogram ketika ini kepada lebih RM10 sekilogram.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata ini kerana dibawah kerajaan yang baharu, Malaysia sebagai pengeluar lada hitam kelima terbesar dunia kini mengamalkan dasar berbincang bersama negara pengeluar terbesar lada hitam lain bagi menentukan harga komoditi itu.

“Memang kita ada sasaran bagi meningkatkan harga lada hitam kepada sekurang-kurangnya lebih RM10 sekilogram (kepada pekebun di Malaysia), tetapi usaha itu perlu dibuat oleh setiap negara pengeluar (terbesar lada hitam), ia bukan sahaja bergantung kepada Malaysia,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5/2020 anjuran Lembaga Lada Malaysia di Hotel UCSI, Sejingkat, di sini, hari ini.

Willie mendedahkan negara pengeluar lada terbesar dunia ketika ini ialah Vietnam diikuti Brazil, Indonesia dan seterusnya India manakala Malaysia pula pengeluar kelima terbesar dan Kemboja yang keenam terbesar serta ketujuh terbesar ialah Sri Lanka.

Beliau berkata Malaysia dan semua negara terbabit kecuali Brazil menyertai International Pepper Community (IPC) dan perbincangan IPC sebelum ini membolehkan harga lada hitam ditingkatkan termasuk sebanyak RM1 hingga RM2 bagi pekebun di Malaysia dan ketika ini harganya dalam lingkungan RM8 sekilogram.

Beliau berkata antara faktor menyebabkan harga lada hitam rendah sebelum ini ialah negara pengeluar kedua terbesar lada iaitu Brazil tidak menyertai IPC dan negara tersebut bebas mengeluarkan bekalan lada hitam ke pasaran dunia tanpa mengikut pendirian IPC.

Selain itu, Willie mendedahkan ketika ini ada sekitar 30,000 pekebun kecil lada di Malaysia mengusahakan tanaman itu yang seluas 7,000 hektar dan mengeluarkan keseluruhannya sebanyak 34,000 tan lada tahun lepas dengan sebanyak 98 peratus pengeluaran lada terlibat dari Sarawak.

Pihaknya mensasarkan pekebun terbabit untuk mengeluarkan keseluruhannya sehingga 40,000 tan lada sepanjang tahun ini dan setakat ini mereka sudahpun mengeluarkan sehingga 30,000 tan.

Willie juga sudah mengarahkan Lembaga Lada Malaysia menyenarai putih senarai pekebun lada di negara ini bagi menentukan samada mereka masih mengusahakan tanaman itu atau mengalami masalah mengusahakan tanaman itu bagi diberikan pelbagai bantuan kerajaan. — DayakDaily