Kerajaan terus bantu petani, penternak dan nelayan

Snowdan (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada wakil dari Persatuan Nelayan Darat Balai Ringin.

KUCHING, 23 Sept: Kerajaan Sarawak akan terus berusaha memperkenalkan inisiatif pertanian baru dan moden kepada petani, penternak dan juga nelayan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, ia bertujuan meningkatkan hasil pertanian, mengurangkan import makanan dan sekaligus meningkatkan pendapatan petani tempatan.

“Jabatan Pertanian sebagai agensi pelaksana dipertanggungjawab untuk melatih dan berkongsi pengetahuan teknologi dengan petani, penternak dan nelayan kita,” katanya yang juga ADUN Balai Ringin.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) anjuran Jabatan Pertanian Daerah Serian di Balai Ringin pada Ahad (20 Sept) lepas.

Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk yang memiliki tanah berkerjasama dengan Jabatan Pertanian agar tanah mereka boleh diusahakan.

Katanya, kerajaan pada tahun lepas menyediakan peruntukkan RM1 juta kepada petani kecil yang berupa peralatan pertanian, benih dan baja.

“Untuk peringkat pertama projek pertanian tahun ini, bantuan sebanyak RM200,000 di sediakan jabatan untuk tanaman kelapa sawit, lada, sayur, buah-buahan dan nanas.

“Manakala untuk peringkat kedua dan ketiga sebanyak RM1.5 juta akan dipohon.

“Sementara itu bantuan RM75,000 telah di peruntukkan kepada 15 peserta penternak ikan,” ujar Snowdan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan pada majlis tersebut seperti taklimat AFF (Agriculture Facilities Fund), pengurusan ternakan ikan air tawar, pengurusan tanaman nanas, durian dan kelapa sawit, teknologi ternakan burung walit dan sesi soal jawab.

Seramai 150 orang peserta terdiri daripada tuai-tuai rumah dan dua peserta lagi dari setiap kampung terpilih menyertai program ini.

Pada majlis itu, Snowdan juga menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Pertanian sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Nelayan Darat Balai Ringin. — DayakDaily