Jualan Agro Madani tahun 2023 catat RM5 juta

Aminuddin (kiri) di pelancaran Jualan Agro Madani di Medan Niaga Satok, Kuching pada 13 Januari 2024.

KUCHING, 13 Jan: Jualan Agro Madani di Sarawak pada tahun lepas berakhir 31 Disember 2023 mencatatkan nilai jualan RM5.059 juta.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Aminuddin Zulkipli berkata, program jualan terus dari ladang itu telah diadakan di 353 lokasi di seluruh bahagian dengan melibatkan 7,889 usahawan.

“Melalui Jualan Agro Madani ini, ianya dapat menyumbang kepada peningkatkan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang berpatutan,” katanya.


Aminuddin berkata demikian di Majlis Pelancaran Jualan Agro Madani di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa program akan diperluaskan pelaksanaannya dengan sasaran sebanyak 5,000 sesi jualan pada tahun ini.

Katanya, ia dijangka akan memberi manfaat kepada 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan RM77.25 juta.

Selain itu ujar Aminuddin, penganjuran program telah memberi faedah kepada penjual yang terdiri daripada peserta Program Ladang Kontrak, Usahawan Bimbingan Kerajaan, Pengilang atau Pemproses Produk Agromakanan.

“Para penjual akan menikmati peningkatan pendapatan menerusi konsep jualan terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah,” katanya.

Pencapaian Jualan Agro Madani di seluruh negara pada tahun lepas berakhir 31 Disember 2023 lalu telah mencatatkan nilai jualan RM90.8 juta.

Program diadakan di 5,271 lokasi dengan melibatkan 73,508 usahawan.

“Program ini juga pada tahun lepas telah berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.2 juta kepada 10.5 juta isi rumah.

“Ini jelas menunjukkan Jualan Agro Madani telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan rakyat Malaysia terutama bagi golongan B40 dan M40,” ujar Aminuddin. — DayakDaily