MBKS hasilkan baja kompos dari sisa organik Pasar Stutong dan Petanak

Iskandar (dua dari kanan) mengagihkan baja kompos kepada salah seorang penjaja di Pasar Stutong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 20: Melalui kaedah pengkomposan Takakura Home, 30 tan sisa organik dari Pasar Stutong dan Pasar Petanak berjaya ditukar menjadi baja kompos seberat 3 tan setiap bulan.

Menurut Ketua Zon 4 Majlis Bandaraya Kuching Selatan(MBKS), Cr Iskandar Sharkawi, ia merupakan usaha majlis untuk mengimbangi kos pengurusan sisa organik.


“Pengkomposan Takakura merupakan satu proses inovatif untuk menukar sisa organik yang dikumpul dari Pasar Stutong dan Petanak menjadi baja kompos.

“Para penjaja di kedua-dua pasar memberi kerjasama dengan membuang sisa organik ke tempat yang telah disediakan,’katanya kepada pemberita pada Kempen Kesedaran Alam Sekitar di Pasar Stutong hari ini.

Tambah Iskandar, baja kompos yang telah dibungkus seberat 1kg dijual kepada orang ramai di Rumah Hijau berhampiran Pasar Stutong.

Kelihatan baja kompos dalam bungkusan 1kg yang dihasilkan melalui kaedah Takakura Home.

Selain dijual, baja kompos tersebut juga digunakan oleh MBKS untuk mengindahkan taman-taman yang dibawah kawalselia majlis.

Di samping itu, beliau juga berkata MBKS menjalin kerjasama dengan Trienekens Sarawak Sdn Bhd (TSSB) dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa.

Katanya, perkhidmatan yang di sediakan TSSB turut dimaklumkan pada orang ramai melalui pengagihan risalah pada kempen tersebut.

“TSSB menyediakan tong sampah secara percuma kepada kawasan perumahan, komersil dan kilang yang baharu.

“Selain itu, TSSB juga menukar tong sampah yang lama kepada yang baharu dan menyediakan perkhidmatan menyewa RoRo untuk membuang sisa-sida kerja pembinaan,” katanya. — DayakDaily