Mayat wanita Indonesia ditemui dalam pondok kebun

Petugas kesihatan Hospital Miri kelihatan berpakaian lengkap (PPE) membawa mayat wanita warga Indonesia terbabit.

Brad Rantayy

MIRI, 21 Okt: Dek kerana ketiadaan dokumen yang sah datang ke Malaysia, seorang lelaki warga Indonesia bertindak hanya melaporkan kematian rakan wanitanya itu, 24 jam selepas mangsa meninggal dunia.

Mayat wanita warga Indonesia berusia 47 tahun itu dipercayai tidak mempunyai dokumen atau permit yang sah, ditemui meninggal dunia di dalam sebuah pondok kebun di Kampung Tukau pada Rabu oleh rakan lelakinya.


Gara-gara bimbang kerana si mati tidak mempunyai dokumen yang sah, rakan lelakinya hanya memberitahu perkara tersebut kepada majikan keesokkan hari (Khamis).

Wanita tersebut dipercayai mengalami deman dan selsema sebelum meninggal dunia pada Rabu.

Menurut siasatan awal, si mati telah datang ke Miri menaiki bas dan dipercayai tidak menpunyai dokumen yang sah atau permit.

Pihak polis dan petugas kesihatan dari Hospital Miri telah bergegas ke lokasi pada Khamis selepas dimaklumkan mengenai kejadian.

Beberapa petugas kesihatan hospital Miri kelihatan tiba di lokasi sekitar jam 2.30 petang Khamis berpakaian lengkap alat pelindung diri (PPE), membawa mayat wanita tersebut ke kenderaan khas.

Ketua polis daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan kes ini dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut. —DayakDaily