KUCHING, 21 Nov: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui terapung di tebing sungai Kampung Sematang, Petra Jaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata mayat lelaki yang hanya berseluar panjang tersebut ditemui oleh orang awam sekitar jam 1 petang.
“Mayat tersebut tidak diketahui identitinya dan pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan menganggarkan mangsa telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas.
“Pemeriksaan awal mayat ditempat kejadian juga mendapati tiada kesan luka atau tanda pada badan dan tidak mengesyaki kejadian disebabkan perbuatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
“Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga boleh tampil membuat pengecaman,” kata Awang.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily