Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di Sungai Tabuan

Mayat tersebut dibawa naik dari sungai untuk tindakan lanjut.

KUCHING, 8 Mei: Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Tabuan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata mayat tersebut ditemui oleh orang awam yang kemudian terus melaporkan kepada polis sekitar jam 11.49 pagi.

Beliau memberitahu, anggotanya kemudian terus ke lokasi kejadian bersama anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.

“Si mati adalah seorang lelaki yang tidak diketahui lagi identitinya dan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

“Mayat si mati kemudian dihantar ke HUS (Hospital Umum Sarawak) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya juga, sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran atau boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat SM Ismawi di talian 016-8580422 untuk pengecaman.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai  Mati Mengejut (SDR). — DayakDaily