“Mayas Secapan” Batang Ai lebih besar dari Ritchie Semenggoh

Addrian ketika ditemui di Taman Negara Batang Ai.

Oleh Chris Bishop

BATANG AI, 12 Julai: Orang utan di Taman Negara Batang Ai lebih besar daripada Ritchie, penghuni Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Menurut Ketua Taman Negara Batang Ai Addrin Anding, beliau bersama Ranger Sirai Dayung pernah terserempak dengan seekor orang utan yang sebesar pintu rumah di Rantau Samak pada tahun 2019.

“Sewaktu melakukan tinjauan, saya bersama rakan terserempak dengan orang utan yang lebar badannya lebih kurang 5 kaki, sebesar pintu rumah.

“Ia kelihatan tua kemungkinan berumur sekitar 60 tahun, berjalan merangkak perlahan-lahan dan tiada tenaga untuk naik ke atas pokok,” kata Addrin ketika ditemui DayakDaily di Pejabat Taman Negara Batang Ai di Nanga Delok hari ini.

Bagi masyarakat Iban di Batang Ai, tambah Addrin, orang utan yang memiliki saiz besar dikenali dengan panggilan Mayas Secapan, manakala yang kecil dikenali Mayas Kesa.

Sepanjang 9 tahun mengendali taman tersebut, beliau berkata pernah menemui 50 ekor orang utan di kawasan sekitarnya.

Katanya, ia ditemui ketika melakukan rondaan dan sewaktu melakukan kerja penambahbaikan denai.

Malah tambah beliau, satu keluarga orang utan pernah datang menghampiri pejabatnya dan kali terakhir beliau bertemu dengan orang utan ialah pada bulan Mac yang lalu.

Ujar beliau, kelakuan orang utan tidaklah ganas dan mengancam manusia.

“Kalau dijumpai merayau seorang diri, orang utan ini akan segera menjauhkan diri secara perlahan-lahan.

“Ia cuma nampak sedikit mengancam jika bersama anak-anaknya demi mempertahankan mereka dari sebarang ancaman.

“Ibu atau bapa orang utan ini akan mematahkan ranting kayu dan melontar ke arah manusia.

“Namun, tiada kejadian pengunjung diserang orang utan di Taman Negara Batang Ai,” ujar Addrin.

Daripada statistik WWF Conservation Society kata Addrin, kajian yang dilakukan pada 2010 mendapati terdapat 200 populasi orang utan di Taman Negara Batang Ai.

Ujar Addrin lagi, orang utan boleh ditemui dengan mudah di kawasan Lubang Baya.

“Kalau mahu berjumpa orang utan, bermalamlah di kawasan Lubang Baya.

“Ini adalah tempat paling strategik, ia kebiasaan akan keluar seawal jam 6 hingga 8 pagi untuk mencari makanan.

“Selepas itu orang utan akan naik ke atas dan tidur di atas pokok kayu pada tengahari,” katanya.

Lubang Baya adalah satu kawasan hulu di Batang Ai yang mengambil masa 45 minit perjalanan bot 15 kuasa kuda dari pejabat taman negara.

Selain itu, Tuchung Selenggi di Nyengin juga merupakan kawasan orang utan kerap ditemui iaitu di kawasan yang dikenali sebagai Apan Mayas.

“Terdapat banyak makanan orang utan di Apan Mayas, kita juga dapat melihat banyak sarang di sekitarnya,” kata Sirai.

Antara makanan kegemaran orang utan ialah jambu hutan, pucuk sedi dan pucuk pantu. — DayakDaily