Mawan: Dewan Masyarakat Pakan dicadang sebagai pusat kuarantin Covid-19

Mawan (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 17: Dewan Masyarakat Pakan dicadang dijadikan pusat
kuarantin daerah dalam usaha memutuskan rantaian penyakit Covid-19.

ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ia bagi menempatkan orang
tempatan Pakan yang baru balik dari Semenanjung, Sabah, Labuan
termasuk dari luar negara serta pekerja luar pantai.


“Ini adalah untuk menjamin bahawa individu tersebut bebas dari
jangkitan walaupun sudah menjalani proses kuarantin sebelum tiba di
Daerah Pakan kerana dikhuatiri individu berkenaan telah dijangkit
semasa dalam perjalanan balik ke Pakan,” katanya.

Mawan berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan
mesyuarat bersama Pegawai Daerah Pakan Seroji Ludin, PDRM, RELA, APM,
Jabatan Kebajikan, Klinik Kesihatan Pakan dan Majlis Daerah
Meradong-Julau semalam.

Tambah beliau, kemungkinan semakin ramai penduduk yang akan balik
semasa musim perayaan yang bakal tiba dan ia adalah amat
membimbangkan.

Menurut Mawan, usaha menubuhkan pusat tersebut adalah untuk
mengelakkan wujudnya kluster baharu di rumah panjang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tahap pematuhan Perintah
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pakan sangat baik.

“Walaupun dengan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat
oleh pihak Kerajaan, masyarakat di Pakan faham dengan SOP yang mesti
diikuti terutamanya semasa berurusan di jabatan-jabatan Kerajaan.

“Rakyat diingatkan supaya sentiasa patuh kepada setiap arahan yang
dikeluarkan dari masa ke semasa.

“Ketua masyarakat juga telah diingatkan agar memaklumkan tuai rumah
untuk mengenakan kawalan di peringkat rumah panjang supaya tidak
terlalu ramai penduduk yang keluar dalam satu hari,” ujarnya.

Pada mesyuarat itu, Mawan menerima laporan bahawa pembukaan kaunter
bergerak oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang telah diadakan pada 10
dan 11 Mei bertempat di Dewan Masyarakat Pakan telah mendapat sambutan
yang sangat menggalakkan .

Kaunter bergerak tersebut menyediakan perkhidmatan semakan berkaitan
Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS),
Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan pengeluaran simpanan biasa dan
dikunjungi penduduk Pakan, Meradong, Saratok dan Durin.

Sepanjang tempoh dua hari tersebut, BSN telah memperolehi sebanyak
1,231 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM540,850. – DayakDaily.