MATTA Sarawak sasar pasaran India

Pengerusi MATTA Sarawak Lina Tsen Pei Tsin

KUCHING, 5 Feb: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak mensasarkan mula meneroka pasaran India bagi menarik lebih ramai pelancong asing mengunjungi Sarawak tahun ini.

Pengerusinya, Lina Tsen Pei Tsin berkata bagi menambahkan lagi ketibaan pelancong asing ke Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 selain berusaha menarik lebih ramai pelancong asing dari pasaran sedia ada dari Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

“Akan datang (tahun ini) ialah pasaran (pelancong asing dari ) India, kami akan mempromosikan produk pelancongan Sarawak di pasaran India,” katanya ketika majlis pelancaran pelekat kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2020 MATTA Sarawak di Bangunan MBKS hari ini.

Lina berkata pihaknya bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mensasarkan meneroka pasaran baharu terbabit berikutan syarikat penerbangan rantau ini termasuk Malindo Air ada menawarkan penerbangan terus ke India.

“Yang penting ialah Sarawak masih lagi selamat untuk (pelancong asing) mengembara. Imej ini yang perlu ditunjukkan kepada orang (negara) lain. Tiada siapa yang mahu mengunjungi negara yang tidak selamat,” katanya.

Katanya setakat ini berita mengenai kes koronavirus di negara ini juga masih belum lagi menjejaskan keyakinan pelancong asing melawat Sarawak dan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan pelancongan negeri ini ke luar negara.

Sementara itu mengenai kedatangan pelancong China ke Sarawak, Lina berkata sebelum ini ada penerbangan terus dari China ke negeri ini tetapi kini penerbangan terbabit sudah dihentikan yang menyebabkan negeri ini tidak menerima ramai pelancong negara itu seperti Sabah dan negeri lain.

“Tetapi kita masih ramai menerima (pelancong asing) yang lain dari Eropah, Amerika dan Kanada. Mereka masih terus datang ke sini bercuti, kerana mereka suka mengetahui tentang Borneo dan budaya kita serta juga seni Sarawak,” katanya.

Menurut Lina, ketika ini MATTA Sarawak ada seramai 188 ahli dan berharap orang ramai dan pelancong asing terus mengunakan khidmat ahlinya yang berlesen bagi melancong di negeri ini dan bukan ejen pelancongan haram. —DayakDaily