Masyarakat Dayak berpotensi menjadi pengeluar utama makanan — Abang Johari

Abang Johari (dua dari kanan) secara simbolik merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-5 PRS.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

SIBU, 24 April: Masyarakat Dayak di luar bandar berpotensi menjadi pengeluar utama makanan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, ia boleh menjadi kenyataan jika tanah yang dimiliki masyarakat Dayak diusahakan menggunakan teknologi dan pertanian moden.


“Saya percaya masyarakat Dayak boleh menjadi pengeluar utama makanan sebab mereka memiliki tanah.

“Manfaatkan sepenuhnya tanah ini, jangan biarkan ia menjadi hutan dan gunakan tanah sebagai sumber industri pertanian,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan (TDC) Ke-5 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), masyarakat Dayak juga bolen memanfaatkan tanah mereka untuk menanam pokok yang boleh menjana pendapatan dalam tempoh singkat.

Katanya, banyak pokok yang boleh tumbuh dengan cepat menggunakan teknologi baharu.

“Dalam tempoh lima tahun pun sudah boleh ditebang, maka kalau ada tanah tanam sahaja dengan pokok-pokok.

“Kita tidak mahu merosakkan hutan kekal yang sedia ada tetapi kita menggalakan penanaman semula pokok-pokok dan kini sudah ada teknologi termasuklah pokok getah.

“Pokok getah ada dua kegunaan di mana pertama sebagai produk getah dan yang kedua adalah sebagai produk kayu dan ini merupakan pendapatan kepada pengusaha,” katanya.

Hadir sama Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum, Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Sri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting. — DayakDaily