Masalah tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Miri harus diatasi segera

Dr Teo (tengah) bercakap dengan petugas di Klinik Kesihatan Miri.

MIRI, Mei 22: Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Klinik Kesihatan Miri memerlukan perhatian sewajarnya dan kerjasama daripada pihak kerajaan negeri.

Difahamkan masalah kekurangan parkir itu telah berlarutan sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata, beliau akan berusaha mengkaji cara bagi mencari jalan penyelesaian masalah tersebut dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk kerajaan negeri.

Katanya, kedua-dua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat dan keselesaan.

“Jika minta bantuan daripada kerajaan pusat, ia mudah kerana kita sekarang berada dalam pihak kerajaan persekutuan.

“Tetapi, kita juga perlu mendapatkan kerjasama daripada kerajaan negeri dalam usaha kita memberikan perkhidmatan serta kemudahan yang selesa kepada semua khususnya para kakitangan dan pesakit di sini,” katanya.

Mengenai masalah kekurangan peralatan di klinik berkenaan, Dr Teo memberitahu, perkara tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.

Jelasnya, pernah berkhidmat sebagai doktor sebelum ini, beliau sangat memahami akan kekurangan peralatan perubatan di situ.

“Saya tahu sekiranya terdapat kekurangan peralatan perubatan kerana saya juga pernah bertugas sebagai pegawai perubatan.

“Perkara ini amat saya ambil perhatian kerana semua pesakit amat memerlukan rawatan yang sempurna,” katanya. — DayakDaily