Kilang proses kayu musnah terbakar, punca dan jumlah kerugian masih disiasat

Anggota bomba berusaha melakukan pemadaman kebakaran.

KUCHING, Mei 22: Sebuah kilang memproses kayu bergergaji di Jalan Denak Laut di sini musnah 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Johari Dzulkifli berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 10.23 malam.

Jelasnya, sebaik menerima laporan kejadian itu, dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan Petra Jaya telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman kebakaran.

“Seramai 23 anggota bomba, dua jentera FRT dan dua Prime Mover telah diarahkan ke tempat kejadian.

“Apabila sampai, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kilang memproses kayu tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Johari menambah, anggota bomba kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air terbuka untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Katanya, kebakaran itu juga melibatkan empat buah tabung acetylene di mana kebakaran itu ditangani oleh pasukan HAZMAT yang membuat ‘cooling’ terhadap tabung berkenaan.

“Kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Buat masa ini, bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang akibat insiden berkenaan,” katanya. — DayakDaily

Share this article!