Masalah bekalan air di Lundu dijangka selesai hujung tahun ini

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 26 Feb: Masalah bekalan air yang membelengu penduduk Lundu dijangka akan dapat di selesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini termasuk membina semula penapis atau strainer di muka sauk ke loji rawatan Lundu untuk mengelak daun dan kayu masuk ke dalam paip air mentah dengan menggunakan struktur konkrit yang lebih utuh sebagai antara penyelesaian jangka pendek untuk masalah tersebut.

“Selain itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan turut membinasatu lagi saluran paip air mentah dari muka sauk ke loji.

“Kita juga akan membawa air dari Bau ke pekan Lundu menggunakan paip menerusi sistem bekalan air dari loji rawatan Batu Kitang ke Takungan Sebuku sebagai alternatif bekalan sekiranya loji rawatan air lundu tidak dapat beroperasi atau disebabkan kemarau dan ini dijangka siap pada Mei ini,” katanya pada sidang media disini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan usahawan dan Koperasi berkata, menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) kawasan Lundu, Sematan hingga ke Telok Melano menjadi antara kawasan yang bakal dibangunan kerajaan Sarawak sebagai salah satu pusat ekonomi baharu di Sarawak.

Justeru katanya, penyediaan kemudahan seperti bekalan air yang sempurna menjadi salah satu perkara yang perlu di titik beratkan.

Katanya, bagi jangka masa panjang, cadangan ‘New Lundu/Sematan Regional water Supply, Kuching Division’ telah di masukan dalam RMK-12 dan kini sedang menunggu proses kelulusan.

“Menerusi projek ini, kita mencadangkan untuk mebina satu loji dengan kapasiti 40MLD dekat Selampit atau Sebandi untuk disambungkan ke sistem bekalan air sedia ada.

“Pembinaan ini yang meliputi sistem perpaipan, stesen penggalak, takungan air dan kerja-kerja berkaitan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM460 juta ringgit.

Wan Junaidi berkata, selain itu, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Bau-Lundu- Sematan yang turut dicadangkan dalam RMK-12 kini berada pada peringkat rekaan dan servei oleh kontraktor KTA Sarawak.

Katanya, projek tersebut meliputi pembinaan bagi membuat sambungan bagi sistem perpaipan bekalan air ke kawasan Lundu, Sematan dan Biawak.

“projek ini yang keseluruhannya melibatkan kos sebanyak RM129 juta telahpun di luluskan dibawah RMK-12 Persekutuan.

“Dengan siapnya semua projek-projek ini kelak, kita menjangkakan masalah bekalan air yang membelenggu kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano akan dapat di atasi sepenuhnya,” katanya. -DayakDaily