Ingkar Perintah Gaji Minimum, tiga syarikat didenda

Awang Raduan Awang Omar

KUCHING, 26 Feb: Tiga buah Syarikat dikenakan hukuman denda di tiga mahkamah berbeza selepas didapati bersalah selepas didapati ingkar terhadap Perintah Gaji Minimum dan undang-undang perburuhan di Sarawak.

Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata, menerusi prosiding pertama, Majistret Leona Dominic Mojiliu telah menjatuhkan hukuman denda terhadap sebuah syarikat sejumlah RM 4,200.00 bagi tiga pertuduhan.

Hukumnan tersebut di kenakan terhadap syarikat terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 130J(c) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana gagal membayar gaji seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 109 (1) ordinan yang sama.


“Di Mahkamah Majistret Bintulu, Majistret Puan Zuraini Binti Ali Musa memutuskan supaya Orang Kena Saman (OKS) dedenda RM 2,000.00 untuk satu pertuduhan di bawah kesalahan Seksyen 13 (5) Akta Pampasan Pekerja 1952.

“Manakala, Mahkamah Majistret Sibu pada 4 Februari 2021 telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM 2,800.00 atau penjara 3 minggu jika gagal membayar denda. Denda tersebut diputuskan oleh Majistret Iris Awen Jon atas kesalahan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana gagal membayar gaji minimum kepada pekerja.

Jelasnya, bagi prosiding ketiga di Mahkamah Sibu, syarikat terbabit turut diarahkan untuk membayar jumlah perbezaan gaji terkumpul sebanyak RM 3,849.21 kepada pekerja yang telah membuat tuntutan kes buruh terbabit.

Awang Raduan dapam pada itu turut menegaskan semua pendakwaan tersebut harus dijadikan sebagai salah satu peringatan dan pengajaran kepada majikan di sektor swasta.

Ia bagi memastikan syarikat atau majikan terlibat tidak ingkar terhadap Perintah Gaji Minimum dan undang-undang perburuhan di Sarawak selain memberi kesedaran kepada pekerja akan hak-hak mereka. – DayakDaily