Maritim Malaysia tahan bot nelayan tempatan, kru tamat tempoh permit

Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan Maritim Malaysia dalam Ops Permai kira-kira 13.7 batu nautika dari Kuala Suai, Miri semalam (23 Feb 2021).

MIRI, 24 Feb: Tiga nelayan warganegara asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri lebih kurang 13.7 batu nautika dari Kuala Suai, disini semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman, penahanan nelayan terbabit susulan pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di perairan tersebut kira-kira jam 4.06 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati ketiga-tiga nelayan terbabit yang dipercayai warga Indonesia memiliki permit yang telah tamat tempoh.

“Ketika melakukan rondaan Ops Permai, aset Maritim Malaysia telah menahan satu bot nelayan tempatan berserta tiga kru dipercayai dari Indonesia berumur antara 31 hingga 44 tahun.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut melakukan kesalahan yang mana permit kru warga asing telah tamat tempoh,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kru warga asing yang ditahan Maritim Malaysia dalam Ops Permai kira-kira 13.7 batu nautika dari Kuala Suai, Miri semalam (23 Feb 2021).

Md Fauzi berkata, kesemua kru, bot serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat satu tan telah diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan gagal mengemukakan permit permohonan penggunaan kru bukan warganegara yang masih dalam tempoh yang sah.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan komuniti maritim bahawa pihaknya sentiasa komited dalam usaha penguatkuasakan undang-undang Maritim di perairan negara.

Ujarnya kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.

“Sebarang aduan, maklum balas serta kejadian kecemasan di laut, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 / Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily