Marin rampas rokok dan minuman keras cecah RM700,000 di Sibu

Antara minuman keras yang dirampas dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

SIBU, 30 Jan: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai RM702,814 termasuk cukai, di sini semalam.

Komandernya, ACP Shamsol Kassim berkata bertindak daripada maklumat dan risikan, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah jenis dua tingkat di Jalan Trusan, di sini iaitu sekitar jam 3.30 petang.


Beliau memberitahu, intipan selama dua jam dilakukan terlebih dahulu sebelum anggota operasi bertindak memotong mangga yang digunakan mengunci pagar dan pintu rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 910,000 batang rokok dan 128 kotak minuman kerasan yang dianggarkan bernilai RM702,814 termasuk cukai.

“Kesemua rokok dan minuman keras tersebut kemudian dirampas kerana disyaki tidak berbayar cukai Kastam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, tiada tangkapan dibuat kerana sehingga selesai operasi, masih tiada individu yang tampil mengaku pemilik premis.

Kesemua rampasan kemudian dibawa ke Markas Polis Marin Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan kes masih dijalankan di bawah Akta Kastam 1967. -DayakDaily