AADK tangkap enam disyaki penagih dadah di Tanjung Bundong dan Jaie, Samarahan

Enam suspek yang ditahan dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

KOTA SAMARAHAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Samarahan menahan enam individu termasuk seorang wanita disyaki penagih dadah dalam operasi ‘Op Cegah’ pada Khamis.

Menurut jurucakapnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun dan merupakan warga tempatan.


Jelasnya juga, operasi hasil daripada aduan orang awam itu dibuat di Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Jaie, di sini.

“Saringan awal air kencing keatas kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua suspek kemudian dibawa ke Pejabat AADK Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

AADK menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan serta penagihan dadah.

“Jika anda atau orang yang anda kenali ingin menyertai program rawatan dan pemulihan dadah yang disediakan oleh pihak AADK, sila hadir ke pejabat AADK yang berhampiran,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan atau ingin menyalurkan maklumat kepada AADK, boleh hubungi talian Hotline AADK di 03-8911 2233 atau 019-626 2233. -DayakDaily