Polis Marin rampas rokok dan minuman keras bernilai RM65,160 di Pakan

Rokok, minuman keras dan van yang dirampas dalam operasi tersebut.
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

SARIKEI,18 Feb: Seorang lelaki ditangkap untuk siasatan lanjut kerana didapati memiliki pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki tiada cukai Kastam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 ACP Shamsol Kassim berkata pemeriksaan telah dilakukan ke atas sebuah van di Jalan New Pakan Bazar di sini iaitu sekitar jam 1.30 petang.

Advertisement

Jelasnya, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat terdapat pelbagai jenis rokok dan minuman keras disembunyikan di dalam van berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati van tersebut membawa muatan rokok putih bernilai sekitar RM64,500 serta minuman keras sekitar RM660 dan didapati tidak mempunyai tanda cukai oleh Jabatan Kastam.

“Selain itu, pemandu van berkenaan juga gagal mengemukan sebarang surat atau dokumen sah daripada Kastam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua rokok dan minuman keras serta van tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk van adalah sekitar RM100,160 dan kesemuanya dibawa ke Markas Taktikal Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu van iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun juga ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Julau. — DayakDaily

Advertisement