Mardi disaran wujudkan platform hasil benih padi daftar Sarawak

Paddy. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disaran untuk mengwujudkan satu ‘platform’ benih padi daftar di Sarawak bagi mengatasi masalah kekurangan benih padi moden di negeri itu.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kekurangan itu berlaku disebabkan ketiadaan bekalan benih padi moden oleh Mardi yang dapat digunakan dan ditanam di negeri tersebut.

“Benih padi moden yang dibawa oleh Mardi dari semenanjung ke Sarawak ini telah ditolak oleh kerajaan negeri disebabkan benih ini yang berpenyakit,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat disini hari ini.


Katanya, isu benih padi khususnya di kawasan Batang Lupar perlu ditangani segera bagi memastikan projek jelapang padi Sarawak dapat direalisasikan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Justeru saya mencadangkan supaya Mardi mewujudkan satu ‘platform’ menghasilkan benih daftar di Sarawak supaya projek jelapang padi Sarawak dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Menyentuh pelaksanaan Projek Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, Rohani berkata, projek tersebut diramal dapat mengahasilkan sehingga 6.5 tan metrik padi bagi satu musim yang dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan sistem moden bagi meningkatkan pengelurannya.

Bagaimanapun, kata beliau, situasi di lapangan sedikit berbeza dengan apa yang diramalkan oleh kerajaan sekali gus memberikan keraguan terhadap pencapaian sasaran tersebut.

“Hakikatnya pada musim pertama penanaman padi di Batang Lupar, pesawah memilih untuk menanam padi benih tradisional berbanding padi benih moden dan peruntukan perlu digunakan untuk sebarang pakej ransangan bagi mengalakkan petani menanam padi benih moden dengan cara tanaman moden memandangkan IADA merupakan ‘care taker’ bagi projek itu,” katanya. — DayakDaily