Malaysia capai status negara tua pada 2030

Rohani (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada orang kelainan upaya di Lundu hari ini.

LUNDU, Mac 12: Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua pada 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warga emas iaitu berusia 60 tahun dan ke atas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pada 2014, jumlah penduduk Malaysia adalah seramai 30.10 juta orang dan seramai 2.65 juta orang atau 8.8 peratus daripadanya adalah warga emas.

Menurutnya, oleh itu, sebagai salah sebuah agensi utama yang bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada warga emas, tindakan secara proaktif telah dan sedang diambil untuk memastikan kesejahteraan kumpulan sasar ini.


“Bagi Sarawak, peratusan penduduk warga emas adalah antara yang tertinggi iaitu 9.5 peratus berbanding negeri-negeri lain.

“Untuk makluman semua bilangan penduduk warga emas di negeri Sarawak adalah seramai 247,600 orang berdasarkan bancian penduduk daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak bagi 2014,” katanya ketika merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lundu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani memberitahu, sehubungan itu, Malaysia perlu bersiap sedia mulai sekarang untuk menghadapi fenomena penuaan penduduk di negara ini.

Rohani (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kerusi roda di Lundu hari ini.

Jelasnya, menyedari hakikat itu serta keperluan semasa dan cabaran masa hadapan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil inisiatif untuk mengkaji semula Dasar Warga Tua Negara yang digubal pada 1995 dan Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara yang dirangka pada 1998.

“Susulan kajian semula ini, Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara telah diluluskan oleh kerajaan pada Jan 5, 2011.

“Dasar Warga Emas Negara (DWEN) merupakan komitmen kerajaan ke arah mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong peningkatan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara,” katanya lagi.

Rohani menambah, salah satu program yang dikenalpasti dalam Pelan Tindakan Warga Emas Negara adalah pewujudan PAWE yang mengambil kira pembangunan potensi yang ada pada golongan warga emas dari segi keupayaan mereka yang masih sihat dan bertenaga untuk menyumbang khidmat bakti dan kepakaran mereka kepada komuniti setempat.

Tambahnya, penubuhan PAWE merupakan tindakan proaktif kementerian dalam memberi perkhidmatan kepada warga emas kerana PAWE adalah perkhidmatan yang bercorak ‘reaching out dan developmental’ (jangkauan and membangunankan) kepada warga emas dalam memastikan agenda ke arah penuaan sihat, aktif dan produktif terus dilaksanakan.

“Program ini digerakkan dengan penglibatan komuniti setempat dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela kebajikan.

“Dengan adanya program sebegini, ianya dapat memberi ruang dan peluang kepada warga emas yang masih aktif dan produktif untuk terus berada dalam komuniti dan mereka boleh terus menyumbang pengalaman dan pengetahuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rohani memberitahu, sejak penubuhannya sehingga Disember 2017, seramai 34,764 warga emas telah berdaftar dengan 59 buah PAWE di seluruh negara.

Ujarnya, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai PAWE paling banyak yang memberi manfaat kepada warga emas di komuniti iaitu sebanyak sembilan buah PAWE.

“Sebagai usaha dalam memberi penghargaan kepada warga emas, kerajaan bercadang mewujudkan 222 buah PAWE, iaitu 1 kawasan Parlimen, 1 PAWE.

“Kerajaan sekali lagi telah meluluskan penubuhan dua buah PAWE iaitu PAWE Pusa dan PAWE Song di Sarawak bagi tahun 2018 menjadikan secara keseluruhannya PAWE di Sarawak berjumlah 11 buah dan 89 buah PAWE bagi keseluruhan Malaysia,” tambah Rohani.

Rohani (duduk tengah) merakamkan gambar bersama tetamu kehormat dan jemputan di Lundu hari ini.

Rohani juga berharap, dengan adanya PAWE di Lundu ia dapat digunakan oleh warga emas untuk mengikuti aktiviti dan program yang boleh meningkatkan kualiti hidup mereka selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.

Ini kerana, ujarnya, PAWE yang ada juga boleh dijadikan pusat pertemuan antara warga emas bagi mengeratkan silaturahim dan menghindari kesunyian warga emas apabila tiada ahli keluarga di rumah.

“Bagi menjamin PAWE Lundu untuk terus aktif dan produktif, saya juga dengan ini mengumumkan bahawa KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneruskan pemberian bantuan kewangan bagi pengoperasian PAWE Lundu bagi tahun 2018 berjumlah RM33,330.

“Kementerian melalui JKM Sarawak telah banyak menyediakan bantuan kewangan kepada warga emas iaitu di bawah skim Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350 sebulan,” katanya lagi.

Sementara itu, Rohani memberitahu, pada tahun lalu, Sarawak telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM80,996,400 untuk seramai 22,509 orang penerima bantuan orang tua.

Jelas Rohani, pemberian bantuan itu adalah bertujuan untuk saraan hidup kepada warga tua yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti.

“Manakala bagi daerah Lundu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching telah membelanjakan peruntukan bantuan orang tua sebanyak RM1,169,000 dengan jumlah penerima seramai 323.

“Malah, bagi menjamin warga emas ini terus dilindungi dan mendapat perhatian serta penjagaan yang sewajarnya, KPWKM juga melaksanakan Program Khidmat Bantu di Rumah atau ‘Home Help Services’,” ujarnya.

Sambil menambah, Rohani memberitahu, pada 2017, seramai 315 sukarelawan yang melaksanakan program Khidmat Bantu di Rumah.

Seramai 567 warga emas, katanya, telah mendapat manfaat daripada program ini dan pihaknya berharap lebih ramai lagi ahli masyarakat terutama golongan muda menyertai program sukarelawan ini. — DayakDaily