Jentera BN Sarawak sudah cukup bersedia menghadapi PRU14 — Abdullah

Abdullah (dua dari kanan) bercakap kepada wartawan semasa Majlis Tautan Mesra Bersama Media 2018 di Kuching.

KUCHING, Mac 12: Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah cukup bersiap sedia bertanding merebut sebanyak 31 kerusi Parlimen negeri ini ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan menjelang tidak lama lagi.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Koperat), Abdullah Saidol berkata beliau turut yakin jentera BN Sarawak lebih bersedia menghadapi pilihanraya umum itu berbanding BN di negeri lain kerana pilihanraya diadakan di negeri ini setiap dua tahun sekali.

“Saya rasa Sarawak adalah negeri yang sentiasa paling bersiap sedia. Jika dibandingkan negeri di Semenanjung yang menghadapi pilihanraya lima tahun sekali, kita di negeri ini menghadapi pilihan raya setiap dua tahun sekali,” katanya ketika menghadiri Majlis Tautan Mesra Bersama Media 2018, di sini hari ini.

Majlis tersebut yang dihadiri warga media di bahagian Kuching turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, berkata selepas Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-11 pada 2016, Sarawak akan menghadapi PRU14 tahun ini iaitu selang dua tahun sahaja dan ini membolehkan kebanyakan maklumat berkaitan pengundi dimiliki jentera pilihanraya BN Sarawak sentiasa lebih terkini berbanding BN di negeri lain.

Disamping itu jentera pilihanraya BN Sarawak turut yang paling berpengalaman menghadapi pilihanraya kerana tahun lepas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu telah mengadakan pilihanraya kecil selepas kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem.

“Kami cuma ibarat perlu menukar palam pencucuh atau minyak hitam jentera BN negeri ini sahaja. Bagi kawasan DUN (Semop) yang diwakili saya mungkin kami perlu tukar air radiator bagi jentera itu sahaja,” katanya.

Abdullah berkata secara idealnya seramai 72 ADUN BN yang menang pada pilihanraya negeri lepas adalah mencukupi bagi membantu calon BN di kesemua 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada pilihanraya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun meminta jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini tidak mengambil mudah persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang dan bersiap sedia membantu menangkis isu nasional yang mungkin dibangkitkan pembangkang. — DayakDaily