Lelaki jatuh, terperangkap dalam gaung selama 48 jam selamat

Kelihatan anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap selama lebih 48 jam di dalam sebuah gaung.

BINTULU, Mac 12: Seorang lelaki yang terperangkap selama lebih 48 jam di dalam sebuah gaung selepas sebuah Toyota Hilux yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Samarakan di sini berjaya diselamatkan hari ini.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 7.30 malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 petang.


Katanya, berdasarkan maklumat daripada penghuni rumah panjang, Toyota Hilux yang dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.

Keadaan mangsa yang patah kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan.

“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 pagi pada Sabtu lalu (Mac 10).

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan pada anggota badannya dan patah kaki kirinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Katanya, buat masa ini keadaan mangsa dilaporkan stabil.

“Ahli keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai keadaan lelaki tersebut,” katanya lagi. — DayakDaily