‘Makan banyak ikan pari boleh menaikkan risiko hiperaktif dalam kanak-kanak’

Ikan pari yang dijual di pasar ikan di negeri ini.

KUCHING, Feb 28: Kalangan ibu yang sedang mengandung di negeri ini dinasihatkan mengurangkan memakan ikan pari bagi mengurangkan risiko anak yang dilahirkan mereka menghidapi masalah gangguan pada bahagian otak dan menjadi kanak-kanak hiperaktif.

Pensyarah Fakulti Sains Kognitif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Professor Madya Dr Norsiah Fauzan berkata demikian kerana pencemaran lautan dan sungai boleh menyebabkan spesis ikan terutama ikan pari amat tinggi kandungan bahan merkuri dan sekiranya dimakan, ibu mengandung boleh menyebabkan gangguan pada otak anak yang dilahirkan dan kanak-kanak terbabit menjadi hiperaktif.

“Jadi sebolehnya bagi ibu yang sedang mengandung mereka mengurangkan memakan ikan pari kerana ikan terbabit amat tinggi kandungan bahan merkuri,” katanya ketika mengadakan ceramah komuniti bertajuk “Neuroterapi dan Pengurusan Gangguan Neurologikal” di Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Dr Norsiah (kanan) bertemu warga media selepas memberikan ceramahnya.

Dr Norsiah Fauzan mendedahkan terdapat juga makanan laut lain yang juga boleh mengandungi kandungan bahan merkuri yang tinggi seperti sirip ikan yu dan ketika ini masih ramai tidak menyedarinya serta beranggapan hidangan mewah berupa sup sirip ikan itu sentiasa berkhasiat bagi ibu mengandung.

Beliau berkata kurangnya kesedaran orang ramai terhadap makanan yang tinggi kandungan bahan merkuri berkemungkinan menjadi salah satu punca ketika ini semakin ramai kanak-kanak menghadapi gangguan pada bahagian otak dan menjadi hiperaktif.

“Selain terdapat dalan makanan, bahan merkuri juga adakalanya tinggi dalam barangan kosmetik seperti bedak pemutih muka dan boleh menganggu otak mereka yang kerap memakainya terutama kalangan wanita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan wanita di negeri ini sentiasa meneliti kandungan dalam kosmetik yang digunakan mereka untuk bahan merkuri dan bahan beracun lain terutamanya sekiranya membeli kosmetik terbabit di kawasan sempadan negeri ini.

Katanya selain bahan merkuri, kanak-kanak ketika ini juga lebih berisiko menghadapi gangguan otak kerana mereka terlalu terdedah dengan peralatan elektronik yang mengeluarkan gelombang elektromagnet dan cahaya terang terutamanya telefon pintar.

Dr Norisah sehubungan itu berharap negeri ini dapat menubuhkan pusat neurologi yang serba lengkap peralatannya bagi memberikan rawatan kepada kanak-kanak di negeri ini yang ada masalah gangguan otak sehingga menjadi hiperaktif, autisme, menghadapi masalah pertuturan dan sebagainya. — DayakDaily