Majikan disaran adakan pelaburan tingkatkan keupayaan OSH-MS

Wilson Ugak menandatangani buku 365 Hari Lensa Perjalanan YB Datuk Wilson Ugak Kumbong sambil disaksikan Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh(kiri) dan Timbalan Pengerusi NIOSH Senator Datuk T. Mohan (kanan).

KUCHING, 28 April: Majikan di seluruh negara disaran untuk mengadakan perlaburan bagi meningkatkan keupayaan Standard Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSH-MS) di organisasi masing-masing dalam usaha menangani penularan Covid-19 di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Negara (NIOSH) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pelaburan tersebut menrangkumi perlaksanaan inisiatif seperti sistem dalam talian, waktu bekerja anjal, kawalan kejuruteraan, latihan keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (KKP) serta pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 di tempat kerja.

Katanya, setiap prosedur kerja sedia ada perlu dinilai semula dengan mengambil kira impak atau implikasi Covid-19, kesihatan mental dan perlaksanaan langkah kawalan risiko yang bersesuaian.


“Pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan kepada setiap aspek dunia pekerjaan, dari risiko penularan virus di tempat kerja, sehingga kepada risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang muncul sebagai akibat dari langkah-langkah untuk mengurangi penyebaran virus.

“Peralihan kepada bentuk pengaturan dan proses kerja yang baharu, seperti pergantungan yang meluas kepada teknologi telekomunikasi, misalnya, telah mewujudkan potensi risiko KKP, termasuk risiko psikososial dan keganasan seperti buli siber,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja Sedunia di Bangi Selangor.

Beliau berkata, Setiap majikan juga perlu menyediakan perancangan dan pelan tindakan kecemasan yang praktikal untuk menangani sebarang insiden jangkitan di tempat kerja atau organisasi milik mereka.

Katanya, keperluan perancangan serta pelaburan ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan orang yang bekerja termasuk perlindungan kepada orang lain seperti yang dinyatakan di bawah tanggungjawab majikan pada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“OSH telah menjadi sebahagian daripada cara hidup kita pada ketika ini dan ia turut mengingatkan kepada saya bahawa terdapat keperluan yang perlu dilaksanakan sebelum kita dapat mencapat hasrat dan sasaran kerajaan untuk mewujudkan sifar kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Wilson berkata, NIOSH melalui peranan dimainkan Jabatan Latihan dan Pendidikan serta Pejabat Wilayah (ETDRO) serta Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan (CRD) menyusun pelbagai program kursus, perundingan dan penyelidikan bagi membantu industri dalam membangun seterusnya memperkemaskan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sedia ada.

Ia bagi membolehkan sistem yamg di perkemaskan itu dapat menyumbangkan kepada pengurangan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di Malaysia.

Tambah Wilson, penerapan amalan budaya kerja selamat dan sihat perlu dilakukan semua pihak bagi memastikan dan mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan dari berterusan berlaku.

Setiap organisasi katanya, diharap dapat mengadakan program-program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai salah satu aktiviti tahunan organisasi agar semangat bekerja berpasukan dapat disemai serta dipupuk bagi menjamin keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Saya percaya dengan kombinasi antara majikan yang prihatin, pekerja yang berkualiti dan produktif, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif serta keadaan persekitaran kerja yang kondusif, maka pastinya produk atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi akan mencapai standard yang dikehendaki,” katanya. — DayakDaily