Majikan digesa daftar PATI dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 sebelum 31 Dis

Dato Gerawat Gala (file photo)

KUCHING, 11 Dis: Pendaftaran bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 di Sarawak akan berakhir pada 31 Disember 2023.

Justeru Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala menasihati majikan supaya mengambil peluang ini untuk meregularisasikan pekerja yang ditakrifkan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Pihak Kerajaan Sarawak mengingatkan majikan bahawa selepas tempoh pelaksanaan Program RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI melalui operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.


“Jika disabitkan kesalahan, majikan yang didapati menggaji PATI akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang PATI yang diambil bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Gerawat, majikan yang berhasrat untuk menyertai program perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja di Sarawak.

PATI yang dibenarkan untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Majikan yang beroperasi dalam sektor 3D iaitu ‘Dangerous, Difficult and Dirty’ adalah dibenarkan untuk mengambil PATI dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan program.

Kata Gerawat, sektor-sektor yang terlibat dalam program adalah Sektor Perkilangan, Pembinaan, Perladangan, Pertanian, Perkhidmatan, Perlombongan dan Kuari dan Pembantu Rumah Asing.

“Manakala hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China,” ujar Gerawat.

Kerajaan Sarawak telah melaksanakan Program RTK 2.0 sejak 26 Julai 2023.

Objektif utama pelaksanaan program adalah untuk meregularisasikan PATI yang berada di Sarawak sebagai pekerja asing yang sah. — DayakDaily