Maafkan dan contohilah semangat Anwar, kata Baru Bian

Baru Bian

KUCHING, Mei 17: Maafkan dan contohilah semangat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam, demikian kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian.

Baru menegaskan, Anwar yang juga Ketua Umum PKR, tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad serta bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika Anwar yang telah dipenjarakan selama bertahun-tahun dan menderita di penjara boleh memaafkan Tun Mahathir dan Najib, jadi rakyat Malaysia juga boleh berbuat demikian.


“Maafkanlah beliau kerana tidak pernah menyimpan perasaan dendam meskipun sudah lama menderita dipenjarakan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Anwar, 71, telah dibebaskan semalam selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantunya.

Dalam pada itu, Baru menambah, semangat yang ditampilkan oleh Anwar itu mesti dicontohi oleh rakyat di negara ini.

“Tindakan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu jelas membuktikan semangat dan kuasa suara rakyat tidak dapat dipisahkan.

“Kita (Pakatan Harapan) berjaya menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) yang selama ini memerintah kerajaan Malaysia,” katanya lagi. — DayakDaily