Bayan Atuh Trail Ultra 2018 pacu pelancongan di Puncak Borneo

Willie Mongin

KUCHING: Meletakkan industri pelancongan Puncak Borneo di dalam peta dunia, adalah antara visi Ahli Parlimen baharu konstituensi berkenaan, Willie Mongin untuk membawa perubahan yang lebih hebat kepada penduduknya.

Justeru sebagai perintis, Willie telah menjadualkan penganjuran Bayan Atuh Trail Ultra (BATU) 2018 di Ulu Bengoh pada Julai 29 nanti.

“Ini adalah platform terbaik untuk kami mempromosikan eko pelancongan di Puncak Borneo dan membawa impak ekonomi yang besar kepada penduduk kampung terutama di Ulu Bengoh iaitu Kampung Mok Ayun, Nyegol, Sting dan Semban,” katanya.


Menurut Willie, acara tersebut merupakan aktiviti larian yang melalui Bayan Atuh (jambatan buluh) iaitu membabitkan jarak sejauh 10 kilometer, 25 kilometer dan 50 kilometer di Kampung Sting, Kampung Nyegol, Moh Ayun dan Kamug.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai supaya menyertai acara tersebut sebagai tanda sokongan untuk menjayakannya.

“Kami mensasarkan seramai 1,900 peserta dan acara ini adalah terbuka untuk penyertaan sama ada dari sekitar Kuching, Sarawak termasuk luar negara,” katanya.

Tambah beliau, dengan peserta yang ramai maka ia secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan penduduk dari kampung-kampung yang terlibat terutama dari segi ‘homestay’, pengangkutan bot serta jualan makanan dan minuman.

Dalam pada itu, Willie turut mengalu-alukan sokongan penaja terhadap acara yang memasuki edisi kedua itu, selepas kali pertama diadakan pada tahun lepas yang telah menarik seramai 358 peserta tempatan dan dari luar negara seperti United Kingdom, Belgium, Ireland, Singapore, Brunei, Itali dan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.gritevent.com/batu atau hubungi 016-8782809/ 016-8882794.
— DayakDaily