LKIM laksana sekatan eksport bekalan ikan untuk penuhi permintaan pasaran tempatan

Mohd Faiz Fadzil (dua kiri) memeriksa ikan yang dijual peniaga di Program Bazar Peduli Rakyat.

KUCHING, 21 Dis: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melaksanakan sekatan eksport terhadap bekalan ikan ditangkap nelayan tempatan yang popular di pasaran tempatan.

Pengerusi LKIM Mohd Faiz Fadzil berkata sekatan eksport tersebut, mulai 1 Januari hingga 28 Febuari tahun depan, adalah untuk memastikan bekalan ikan terbabit mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran dalam negara ini dan memastikan harganya berpatutan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina awal tahun depan.

Antara bekalan ikan yang ditangkap nelayan tempatan dalam senarai sekatan eksport adalah ikan kembong, ikan bawal, ikan pelaling, ikan selar dan udang samada yang beku ataupun segar.

“Sekatan eksport ikan ini akan dikuatkuasa di seluruh Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) di Pasar Raya Besar Giant, Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

BPR merupakan kerjasama LKIM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu rakyat dalam golongan B40 membeli barangan makanan termasuk ikan dengan potongan harga dari lima hingga 30 peratus.

Mohd Faiz berkata ketika ini, harga ikan ditangkap nelayan tempatan di pasaran secara keseluruhannya masih terkawal walaupun negara ini dilanda musim tengkujuh, ditambah menjelangnya perayaan Krismas, kerana LKIM sudah menyimpan bekalan ikan bagi memenuhi permintaan bagi musim dan perayaan terbabit.

“Ketika musim tengkujuh ini juga hanya nelayan pesisir pantai yang tidak keluar menangkap ikan berikutan laut bergelora tetapi nelayan laut dalam zon C dan C2 masih turun ke laut menangkap ikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan bekalan ikan akan mencukupi bagi menampung permintaan pasaran tempatan sepanjang musim tengkujuh ini dan berharap orang tengah atau peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ikan terbabit.

Selain itu, Mohd Faiz juga mendedahkan LKIM akan melakukan sekatan eksport ikan kedua pada pertengahan tahun depan bermula 15 April sehingga 15 Jun bersempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sekatan eksport ikan pertengahan tahun depan akan membabitkan bekalan spesis ikan kembong, ikan selar, ikan selayang atau sardin, ikan bawal hitam dan udang. — DayakDaily