Liputan bekalan elektrik luar bandar kini 97.1 peratus

Julaihi bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Nov: Liputan bekalan elektrik luar bandar kini telah mencapai 97.1 peratus dengan sasaran liputan penuh menjelang 2025.

Untuk mencapai sasaran tersebut, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, sejumlah RM2.37 bilion diperuntukkan pada tahun 2019 untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat.


“Semenjak itu, sejumlah 23,319 isi rumah telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam sehingga suku ketiga tahun 2022.

“Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak 20,445 isi rumah, 14,408 isi rumah pada tahun 2020 dan sebanyak 7,798 isi rumah pada tahun 2019.

“Dianggarkan 11,700 isi rumah masih belum mendapat bekalan elektrik di kawasan luar bandar,” kata Julaihi dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain itu, tambah beliau, sambungan talian grid akan dipanjangkan ke kawasan luar bandar yang mempunyai jalan akses.

Manakala sistem ‘off-grid’ melalui hibrid dan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sares) sedang dan akan diteruskan untuk kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan akses.

Antara program Sared yang telah disiapkan di pedalaman adalah seperti di Long Busang di Ulu Belaga, Rumah Lawai di Sebauh, Long Suling di Miri, Rumah Nading di Kapit dan Rumah Lusi di Song.

Julaihi turut melaporkan bahawa menerusi Projek Rakyat, kerajaan sejak 2019 telah melaksanakan bebeberapa projek termasuk pembinaan 12 buah pencawang.

Katanya, sembilan buah pencawang telah siap sepenuhnya iaitu di Tatau, Kanowit, Nanga Kesit, Sebauh, Sangan, Ngungun, Julau, Pakan dan Dalat, manakala sebuah pencawang di Belaga sedang dalam pembinaan, sebuah pencawang di Long Lama dalam peringkat penganugerahan tender dan sebuah pencawang di Ba’Kelalan dalam peringkat reka bentuk.

“Pembinaan 500km talian pengagihan utama yang menghubungkan pencawang-pencawang tersebut, sehingga kini telah 60 peratus siap.

“Sebanyak 78 buah projek sambungan terakhir sedang dilaksanakan di 802 buah kampung dan rumah panjang yang akan memanfaatkan 17,200 isi rumah dan sehingga kini, projek ini telah mencapai 68 peratus siap.

“Bagi kawasan yang terpencil, lima fasa projek Sares telah siap dilaksanakan, memberi manfaat kepada 12,215 isi rumah di 408 buah kampung serta rumah panjang,” ujar Julaihi.

Bagi Sares fasa keenam di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), tambah Julaihi, ia kini dalam fasa pelaksanaan yang melibatkan 141 buah kampung dan rumah panjang dan memberi manfaat kepada 2,863 isi rumah.

Setakat ini, pelaksanaan projek ini adalah pada tahap 85.1 peratus dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2023. — DayakDaily