Liputan bekalan air setakat Q3 2023 capai kadar 84.2 peratus, luar bandar 68.2 peratus — Julaihi

Julaihi dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan DUN hari ini (27 Nov 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Nov: Liputan keseluruhan bekalan air ke seluruh Sarawak setakat suku ketiga (Q3) tahun 2023 ialah 84.2 peratus dan liputan di luar bandar pada kadar 68.2 peratus, kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Berdasarkan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, katanya, peruntukan terkini yang diperlukan bagi melaksanakan keseluruhan projek bekalan air bagi memenuhi permintaan bekalan air jangka masa panjang adalah dianggarkan RM20 bilion.


“Kerajaan Sarawak masih meneruskan pelaksanaan ‘Water Supply Grid Programme for Stressed Areas’ yang mendapat peruntukan berjumlah RM4 bilion di bawah peruntukan ‘Alternative Funding’.

“Di bawah program ini, sebanyak 304 projek bekalan air dilaksanakan dan dari pada jumlah itu 237 projek atau 78 peratus telah disiapkan, manakala 61 projek atau 20 peratus dalam pembinaan dan enam projek atau 2 peratus dalam perancangan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Julaihi, projek-projek yang telah siap di bawah program ini telah dapat menyelesaikan masalah tekanan dan bekalan air khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, ia melibatkan kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, Eco Garden Sibu, Kuala Balingian, Balingian, Ulu Bayan, Pekan Sebauh, Pekan Tatau, Beluru, sebahagian Marudi dan Pekan Lawas termasuk empat projek ‘Sarawak Alternative Water Supply’ (SAWAS).

Manakala projek-projek bekalan air yang baru disiapkan ialah di kawasan Bau, Pekan Serian, Simanggang, sebahagian Sibu Jaya, Kuala Serupai, Kuala Matu, sebahagian Belaga-Mejawah, Belawai, Tanjung Manis, Pekan Sarikei, Pakan dan sebahagian Daerah Limbang dan dua pakej projek SAWAS.

“Kesemua kawasan ini telah menikmati bekalan air yang stabil.

“Penjelasan tentang projek yang telah disiapkan ini membuktikan bahawa kerajaan Sarawak sedang mengatasi masalah ini secara berperingkat, ” ujar Julaihi. — DayakDaily