Lima operator jual kad tambah nilai judi dalam talian diberkas polis

Anggota polis melakukan serbuan di premis jual kad tambah nilai judi dalam talian.

KUCHING, Mei 19: Polis berjaya menahan lima operator perjudian dalam talian menerusi dua serbuan yang dilakukan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, kesemua yang diberkas itu berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Jelas beliau, serbuan di dua daerah itu juga berjaya menahan seorang remaja berusia 15 tahun dan seorang warga asing.


“Siasatan awal mendapati kesemua suspek merupakan operator yang menjual kad tambah nilai judi dalam talian.

“Menerusi serbuan tersebut, polis berjaya merampas empat unit telefon bimbit, komputer riba, slip pertaruhan serta peralatan lain yang disyaki digunakan dalam judi siber itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Dennis juga menambah, pihak polis juga merampas wang tunai sebanyak RM2,249 yang dipercayai hasil daripada jenayah itu.

Jelasnya, kelima-lima suspek sudah ditahan reman bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily