Jangan pilih kasih dalam pembangunan bidang sukan — Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, Mei 19: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak menaruh harapan agar kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak pilih kasih dalam pembangunan sukan khususnya melibatkan negeri-negeri pembangkang.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan PH perlu telus dan mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan sesuatu keputusan penting dalam bidang sukan di negara ini.

Jelas beliau, penyaluran peruntukan juga perlu diagihkan sama rata demi pembangunan sukan secara adil dan saksama.


“Saya akui perubahan mendadak dijangka berlaku dalam dunia sukan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Apa yang penting sekarang ialah kerajaan pusat dan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan nama Malaysia terus dilonjakkan dalam pentas sukan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, bidang sukan tidak harus dipolitikkan sebaliknya ditadbir secara profesional tanpa ada kepentingan diri.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk membangunkan bidang sukan tanpa memikirkan ideologi politik semasa.

“Sukan adalah untuk semua rakyat; atlet negara juga perlu yakin dengan kepimpinan negara masa kini,” ujarnya. — DayakDaily