Libas anak saudara guna parang, seorang lelaki diberkas polis

Suspek (tengah) ditahan JSJ IPD Marudi petang semalam.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 3 Jun: Seorang pemuda dari Sungai Tatan, Long Teru, Tinjar Baram cedera pada lengan kiri dilibas dengan parang selepas diserang pakciknya sendiri dalam kejadian pada awal pagi Rabu (1 Jun).

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, di hadapan rumah mangsa berusia 32 tahun itu, dia telah didatangi suspek yang hendak mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Advertisement

Namun, tindakan suspek itu telah ditegur oleh ibu mangsa yang ketika itu turut berada di lokasi kejadian.

Berang setelah ditegur, suspek berusia 49 tahun itu bertindak menendang wanita itu sebelum menyerang mangsa menggunakan sebilah parang.

Akibat serang itu, mangsa mengalami luka di lengan kiri dan dan di bahagian leher.

Mangsa dilaporkan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Long Lama dan telah menerima empat jahitan di lengan kirinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Mohd Ruslan Mat Kib, susulan kejadian, suspek telah ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Marudi pada Khamis sekitar jam 4.30 petang untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian,” ujarnya.

Motif kejadian dipercayai kerana dendam lama.

Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement