Lembaga Lada Malaysia bimbang harga lada terus menurun

Sng (berdiri empat dari kanan) bersama para pemenang sempena Pesta Pakan 2018.

PAKAN, Ogos 27: Lembaga Lada Malaysia (MPB) memandang serius isu kejatuhan harga lada yang semakin membimbangkan iaitu mencecah RM8.80 sekilogram ketika ini.

Pengerusi MPB, Larry Sng berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengatasi penurunan harga lada di pasaran sekiranya harga bahan komoditi tersebut terus jatuh.

Jelas beliau, MPB memandang serius penurunan harga lada buat masa ini yang mencecah paras serendah RM8.80 sekilogram atau RM8,800 satu tan metrik.

“Kerajaan menerusi kementerian berkaitan kini mengkaji mekanisme yang perlu dilaksana bagi melindungi pekebun kecil lada supaya tidak terkesan dengan kejatuhan harga lada semasa.

“Jadi saya berharap kerajaan akan meluluskan cadangan MPB untuk memperkenalkan Jaringan Keselamatan Sosial (SSN) untuk industri lada tempatan sekali gus menangani isu kejatuhan harga lada,” katanya semasa Pesta Pakan 2018 di sini.


Ahli Parlimen Julau itu menambah, harga semasa bagi getah ketika ini berada pada tahap yang membimbangkan disebabkan golongan pekebun lada memerlukan harga sekurang-kurangnya RM9 sekilogram bagi mendapatkan semula modal penanaman komoditi berkenaan.

Katanya, harga lada yang stabil mampu memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha, setanding komoditi lain seperti kelapa sawit dan getah di samping dapat membantu menjana ekonomi negara.

“Sehubungan itu, kerajaan harus mencari pendekatan terbaik bagi membantu para pekebun lada sekali gus mengembangkan industri berkenaan dalam tempoh panjang.

“Selain memberi insentif dan input kepada mereka, kerajaan perlu menyediakan kilang bagi pekebun menyimpan hasil lada dan menjualnya ketika harga lada naik,” katanya lagi.

Berdasarkan laman web MPB, harga lada hitam berada di paras RM8,820 satu tan metrik, harga lada putih RM15,344 satu tan metrik, manakala lada putih krim dijual pada harga RM19,360 satu tan metrik. — DayakDaily