Lelaki warga Indonesia maut, kepala dihempap besi penghentak cerucuk

Lokasi kejadian mangsa yang dihempap oleh besi penghentak cerucuk.

MUKAH, April 4: Seorang pekerja tapak pembinaan menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila dia kepalanya dihempap besi penghentak cerucuk, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Hermanto disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Polis Daerah Mukah, Dsp. Jimmy Panyau berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bekerja di tapak pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Teh di sini.


Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila besi penghentak cerucuk tiba-tiba turun lalu menghempap kepalanya semasa.dia mengangkat penutup kepala tiang cerucuk itu.

“Impak kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku disebabkan besi penghentak pada mesin itu terkeluar dari landasannya hingga mengakibatkan besi itu terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jimmy memberitahu, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily