Ilmu pertahanan awam penting dipelajari — Uggah

Uggah (tengah) di Kuching, hari ini.

KUCHING, April 3: Ilmu pertahanan awam seperti kemahiran melawan kebakaran, kemahiran menyelamat dan pengenalan ilmu pengurusan bencana sangat penting untuk dipelajari dalam kalangan pelatih di politeknik dan kolej komuniti.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemahiran menyelamat akan menjadikan mereka seseorang pegawai yang berpengetahuan dalam segenap aspek keselamatan dan kompeten dalam menjalankan tugasan.

Sehubungan itu, katanya, fenomena positif itu akan menjana pembentukan kakitangan pegawai yang sentiasa bersedia memberi khidmat dengan profesional dan efektif.

“Aktiviti seumpama ini juga adalah merupakan satu wadah yang disediakan bagi mendukung matlamat kerajaan dalam melahirkan sukarelawan yang sentiasa aktif, berdisiplin, berdaya tahan dan akhirnya memberi impak kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Dalam pada masa yang sama, ia memberi kesedaran dan pendekatan yang lebih efisien terhadap golongan profesional tentang betapa pentingnya pengurusan bencana dan peranan Pertahanan Awam sekali gus menarik minat mereka untuk lebih cenderung berkhidmat sebagai anggota sukarela,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak di sini hari ini.

Majlis yang dilaksanakan pada hari ini adalah kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia.

Uggah menambah, dengan program seumpamanya, ia juga diharap dapat menyebar dan mendidik pelajar, komuniti dan pegawai itu sendiri mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam sepanjang masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Katanya, ia juga dapat membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber, bertanggungjawab serta mempunyai kepakaran khusus dalam Pertahanan Awam.

“Program seperti ini juga, dapat memperkasa jati diri dan ketahanan mental serta fizikal dalam menghadapi situasi kecemasan.

“Kekuatan dan kelebihan Pertahanan Awam adalah bergantung kepada anggota sukarelanya.

“Sebagai salah seorang anggota, kita berkeyakinan bahawa visi dan misi APM dan rakan strategik akan tercapai dengan lebih mantap dan efektif,” katanya lagi. — DayakDaily