Lelaki warga emas hilang ditemui mati lemas

Pasukan SAR membawa mayat mangsa ke rumah panjang.

BINTANGOR, Jan 7: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas pergi ke kebun pada Jumaat lalu ditemui mati lemas di Sungai Julau di sini hari ini.

Mangsa, Ukat Abon, 74, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 9 pagi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui kira-kira 2 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang sebelum itu.


Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terapung di tebing sungai tersebut sebelum pasukan SAR membawa dia masuk ke dalam bot.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah panjang di mana tempat mangsa menetap bersama keluarganya sebelum ini.

“Operasi yang memasuki hari ketiga itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.30 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang pada Jumaat lalu selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya selepas keluar ke kebunnya.

Tindakan susulan selepas itu hanya menemui baju serta peralatan milik mangsa yang ditinggalkan di tebing sungai tersebut. — DayakDaily