Kolam takungan air hujan bernilai RM70 juta dijangka menangani masalah banjir kilat

Datuk Seri Fadillah Yusof (baju merah, kiri) menghadiri majlis santai bersama penduduk Taman Sejoli dan ahli PBB Ranting Taman Sejoli/ Murni.

KUCHING, Jan 7: Masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan Matang di kawasan Parlimen Petra Jaya dijangka akan dapat diatasi dengan pembinaan kolam takungan air hujan bernilai RM70 juta terletak berhampiran Taman Sejoli.

Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian dan sehubungan itu pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membuat kajian terperinci untuk pembinaan kolam terbabit.

“Ini kerana kawasan ini (Taman Sejoli) adalah yang paling rendah dan dapat menjadi tempat air hujan berkumpul, jadi kolam terbabit akan terlebih dahulu menakung air hujan sebelum dipam keluar ke Sungai Sarawak,” katanya ketika menghadiri Majlis Santai Bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Taman Sejoli/Murni di Dewan Serbaguna Taman Sejoli, Matang, di sini, semalam.


Fadillah berkata cadangan kaedah pembinaan kolam tersebut yang anggaran kasar kosnya sebanyak RM70 juta itu dijangka dapat mengatasi masalah banjir kilat sekitar kawasan Matang dan juga Semariang.

Ini kerana masalah banjir kilat kawasan itu disebabkan paras air Sungai Sarawak yang tinggi ketika hujan lebat kerana air sungai itu tidak mengalir keluar ke lautan cukup pantas ketika air pasang besar walaupun paras air itu boleh dikawal.

“Bagaimanapun kawasan tapak cadangan pembinaan kolam itu juga tapak yang telah diminta kamu (penduduk Taman Sejoli) bagi pembinaan taman rekreasi bernilai RM148,000 kerana hanya disana sahaja ada tanah kosong di kawasan ini,” katanya.

Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) berucap ketika menghadiri majlis santai bersama ahli PBB Ranting Taman Sejoli/ Murni.

Fadillah sehubungan itu menasihatkan penduduk Taman Sejoli supaya menubuhkan satu jawatankuasa bagi berbincang dengan DBKU supaya membina taman rekreasi diatas kolam takungan air terbabit.

“Ini supaya kos pembinaan kolam takungan itu nanti dapat diselaraskan dengan merangkumi juga pembinaan taman rekreasi diatasnya bagi kegunaan penduduk Taman Sejoli dan sekitarnya,” katanya.

Beliau juga meminta DBKU dan DID melakukan kajian anggaran kos sebenar bagi pembinaan kolam takungan terbabit dengan ada taman rekreasi diatasnya supaya pihaknya dapat meminta peruntukan pembinaannya dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri. — DayakDaily