Lelaki tanpa pengenalan diri ditemui mati dalam tongkang

Lokasi mayat mangsa ditemui.

SIBU, 13 Okt: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah tongkang yang berlabuh di Tanjung Kunyit, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mayat tersebut ditemui pengurus sebuah syarikat perkapalan pada jam 10.30 pagi.

Katanya, anggota dari IPD Sibu terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


Jelasnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat lelaki terbabit ditemui lengkap berpakaian, namun tiada dokumen pengenalan diri.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhuhung kejadian boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat SI Davaraj Subramaniam di talian 014-3941236. — DayakDaily