Lelaki pukul kanak-kanak diarah lakukan kerja kemasyarakatan selama 200 jam

Bangunan Mahkamah Sibu

SIBU, Ogos 7: Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan seorang lelaki menjalani komitmen kerja kemasyarakatan selama 200 jam selepas didakwa mendera seorang kanak-kanak dalam kejadian Oktober tahun lepas.

Hakim Caroline Bee Majanil turut memerintahkan lelaki berusia 33 tahun itu berkelakuan baik selama tiga tahun atas tuduhan penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Tertuduh yang berasal dari Kanowit didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2011 dan Akta 611 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1).


Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mendera seorang kanak-kanak perempuan di sebuah bilik sewa di Lorong Hardin, Sibu antara pukul 5 petang hingga 7 petang dalam kejadian pada Oktober 13, 2017.

Sebelum itu, seorang anggota polis wanita telah melihat seorang wanita bersama anaknya dalam keadaan ketakutan dan mendapati mukanya lebam.

Ketika ditanya anggota polis terbabit, wanita tersebut kemudian mendakwa anak perempuanya telah dipukul oleh tertuduh yang juga merupakan teman lelakinya.

Anggota polis berkenaan kemudian mengarahkan wanita itu membuat laporan polis, namun dia enggan berbuat demikian.

Disebabkan keengganan wanita tersebut membuat laporan polis, anggota polis terbabit kemudiannya bertindak sebagai pelapor maklumat pertama berhubung kejadian berkenaan.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis kemudian menahan lelaki tersebut untuk siasatan lanjut, manakala kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Sibu bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai perubatan mendapati kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan pada wajah dan pipinya akibat dipukul. — DayakDaily