Pecah van sebelum tertidur, polis cekup seorang lelaki

Kelihatan seorang lelaki yang tertidur selepas memecah masuk sebuah van di Desa Senadin, Miri.

MIRI, Ogos 7: Tindakan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah van sebelum tertidur dalam kenderaan tersebut membawa padah apabila dia diberkas di Desa Senadin di sini.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan selepas pemilik kenderaan berkenaan mendapati suspek tertidur dalam van miliknya kira-kira pukul 12 tengah malam.

Menurut sumber, lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu turut merosakkan cermin van berkenaan apabila terdapat kesan pecah pada cermin depan kenderaan tersebut.


“Terkejut melihat seorang lelaki tidak dikenali dalam van itu, pemilik kenderaan tersebut kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis Miri mengesahkan penahanan lelaki berkenaan untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mabuk dan memecah masuk kenderaan berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily