LIMBANG, Julai 27: Seorang lelaki warga emas berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas masuk ke dalam kawasan hutan di Kampung Pangkalan Rejab, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Lingem, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa, Timbang Sarail, 70, pada pukul 7.16 pagi.
Jelasnya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mengalami masalah pekak dan bisu berkenaan.
“Sebelum itu, ketua kampung tersebut, Drahman Bakar datang sendiri ke BBP Limbang membuat laporan kehilangan mangsa.
“Operasi SAR mula dilakukan pada pukul 9.30 pagi dengan teknik pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan bot bomba dengan dibantu penduduk kampung,” katanya.
Mengulas lanjut, Tawang memberitahu mangsa sebelum ini pernah dilaporkan hilang beberapa kali namun akan dijumpai di sekitar tebingan sungai di hutan berdekatan.
“Bagaimanapun, setakat ini operasi SAR masih belum menemui petunjuk positif dan operasi masih diteruskan,” katanya. — DayakDaily