Tidak sempat lari, tiga kaki dadah dicekup polis

Tiga lelaki yang dicekup selepas disyaki miliki dadah.

SERIAN, Julai 27: Cubaan tiga lelaki melarikan diri daripada polis selepas disyaki memiliki dadah terbantut apabila mereka ditahan di sebuah rumah yang dijadikan ‘sarang dadah’ di Kampung Seberang, Sebuyau di sini tengah malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 38 tahun terbabit cuba keluar dari bahagian belakang kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis, berkata cubaan mereka gagal apabila sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah telah melakukan kawalan di belakang rumah itu.


“Pemeriksaan kemudian dilakukan oleh pasukan polis sebelum menjumpai satu beg kecil wrna hitam jenama Sharp yang mengandungi dua paket plastik lutsinar kecil.

“Polis juga menemuui 12 keratan tiub straw masing-masing berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aswandy menambah, ketiga-tiga suspek ditangkap hasil maklumat awam yang curiga dengan urusan yang dijalankan lelaki terbabit di kediaman berkenaan.

Jelasnya, kesemua suspek turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani ujian air kencing.

“Seorang daripada suspek juga didapati memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 6(2)(c) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan reman mulai hari ini sehingga 31 Julai depan bagi membantu siasatan. — DayakDaily