Lelaki naik angin lepas tembakan ditahan polis

Kelihatan selaras senapang patah yang dirampas daripada suspek.

SELANGAU, Julai 15: Seorang lelaki yang naik angin dengan melepaskan satu das tembakan dengan menggunakan selaras senapang patah di kawasan ruai rumah panjang malam tadi telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Mukah, Dsp Jimmy Panyau berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis susulan laporan yang diterima sebelum itu.

Jelasnya, berdasarkan maklumat diterima, suspek didakwa melepaskan tembakan selepas disyaki tidak tahan dengan bunyi bising sekumpulan penduduk yang bermain bola sepak di kawasan ruai rumah panjang di situ.


“Suspek didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah di kawasan rumah panjang itu.

“Bagaimanapun, tembakan yang dilepaskan itu tidak mencederakan sesiapa,” katanya di sini hari ini.

Jimmy menambah, semasa ditahan, polis turut merampas selaras senapang patah yang digunakan oleh suspek semasa kejadian berkenaan.

Katanya, antara lain, polis turut merampas enam butir peluru, dua kelongsong peluru, empat serpihan kelongsong peluru serta lesen memiliki senjata daripada suspek.

“Suspek kini ditahan reman sehingga Julai 19 depan untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya. — DayakDaily