KUCHING, 23 Jan: Seorang lelaki menemui ajal ketika sedang membaiki bumbung sebuah bangunan di Jalan Kereta Api, di sini hari ini.
Menurut sumber, mangsa dikenali sebagai Hii berusia 63 tahun dan berasal dari Jalan Mendu.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa dikatakan tiba-tiba pengsan iaitu sekitar jam 1.45 petang.
Beberapa orang awam yang menyedari kejadian tersebut kemudian segera menghubungi pihak ambulan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir di lokasi kejadian dan mayatnya kemudian dibawa turun dari atas bumbung tersebut dengan bantuan Bomba,” kata sumber.
Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota dari Balai Polis berhampiran.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.-DayakDaily