Lelaki maut dalam kemalangan di Miri

Anggota Bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa.

MIRI, 11 April: Seorang lelaki maut, apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas di Jalan Simpang Pangkalan Lutong, di sini malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) melaporkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.30 malam.

Jelasnya, mangsa dilaporkan tersepit di dalam kereta dan mengalami kecederaan parah.

Pihak Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa, yang kemudian disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Identiti mangsa belum diketahui sehingga berita ini ditulis.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.25 malam. — DayakDaily