Lelaki maut dihempap ‘bucket’ lori di Kota Padawan

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

KUCHING, 22 Sept: Seorang pemandu lori meninggal dunia apabila dihempap ‘bucket’ lori 10 tan miliknya di Kota Padawan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 7.21 pagi hari ini, berlaku di rumah mangsa sendiri.

Katanya, anggota dari Balai Polis Batu 10 terus ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejaidan.

Advertisement

“Menurut isteri mangsa, setiap subuh dia akan membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan sebelum digunakan untuk bekerja.

“Manakala menurut keterangan adik mangsa pula, dipercayai mangsa tersentuh kabel hidraulik semasa membuat pemeriksaan menyebabkan ‘bucket’ lori itu turun menghempapnya.

“Tambahan katanya kunci keselamatan ‘bucket’ lori tersebut juga tidak dipasang ketika mangsa membuat pemeriksaan,” kata Abang Zainal Abidin dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. — DayakDaily

Advertisement